18 Disember 2015

Berapa banyak duit RM2.6 biliun..

Sejak beberapa bulan yang lalu angka dua perpuluhan enam biliun cukup popular di tanahair kita, mengatasi angka-angka yang lain. Kita dikejutkan dengan angka biliun tersebut yang terkandung dalam isu penuh misteri, kontroversi lagi sensasi tapi belum lagi basi walaupun kini nampak sedikit sunyi dari bunyi berintonasi yang mahukan resolusi (kata-kata ini sepatutnya diiringi tiupan seruling).

Ramai orang masih tertanya-tanya kerana penjelasan yang pernah kita dengar tak meyakinkan. Penjelasan yang macam anak ku bermain silap mata menghilangkan duit syiling dua puluh sen: "Hah! Ayah tengok, duit dah takda." Anak ku menunjukan tapak tangan kanan padahal duit syiling tu telah dengan pantas dialih dan digenggam di tangan kirinya.

Kita pun hairan kenapa mempersoalkan isu berkaitan dua perpuluhan enam biliun secara terbuka seolah-olah menjadi satu kesalahan besar. Malah kalau ada yang bertanya maka orang itu dianggap orang yang cuba menimbulkan perbalahan dan sengaja tak mau faham kerana penjelasan telah dibuat.

Jawapan dan penerangan yang jelas telah diberi!?

Jelas apanya kalau tak ada pun kenyataan tentang di mana duit dua perpuluhan enam biliun tu kini berada. Sudah habis? Sudah berkurangan? Pendedahan yang telus bagaimana ia digunakan? - Ada? Apa kah rakyat tak perlu tahu? Dan sumbernya.. dari penderma (singular) yang mau dirahsiakan. Beberapa bulan kemudian kata pula dari penderma-penderma (plural) yang juga mau dirahsiakan. Sungguh mencurigakan kan kan?

Sama seperti jutaan rakyat yang lain, aku juga hanya tertanya-tanya sendiri, tunggu dan lihat. Tak mampu berbuat apa-apa. Hendak bertanya terus pun perlu bahasa yang petah dalam suara yang besar. Jika tidak, tak ada gunanya. Mungkin hak kita bertanya pula nantinya dipersoal.

Okay la, kita tinggalkan dulu soal isu. Tak boleh citer banyak. Aku nak citer pulak tentang duit itu sendiri. Berapa banyak kah duit dua perpuluhan enam biliun ringgit?
Bersambung selepas gambar di bawah.

US$1,000,000,000.00

Gambar ni aku main petik je (bukan curi?) dari satu laman web. Duit yang terpapar berjumlah US$1 billion dalam bentuk 10 juta keping duit kertas US$100 disusun di atas 12 pallet. Menurut laman web berkenaan lagi, susunan duit ini adalah hasil seni dari seorang artis. Samada ianya duit betul atau replika, tak diterangkan.

Seni? Cantik? Tentulah cantik sebab duit memang punya seni tersendiri. Pada pandangan ku untuk menilai cantiknya hasil seni yang diperbuat dari duit kertas $100 amat lah mudah. Jika sekeping, ia berada dalam tahap biasa saja. Dua keping, ia mula menonjolkan serinya. Bila dah berkeping-keping-keping baru lah ia dikatakan cantik. Lebih banyak lebih cantik. Tapi jika dah terlalu banyak seperti di gambar, duit tu bukan saja cantik malah telah menjadi indah, memukau dan menawan kalbu. Betul?

Berbalik kepada tajuk, berapa banyak duit RM2.6 biliun..

– Jika kita andaikan duit kertas US$100 di gambar tu adalah duit kertas RM100, kita akan memperolehi jumlah angka yang sama iaitu 1 biliun ringgit di atas 12 pallet. Berapa pallet diperlukan untuk 2.6 biliun ringgit? Dengan duit kertas dan susunan yang sama, 27 pallet diperlukan (2.6 x 12/1 = 27.12).

– 2.6 biliun ringgit sama juga dengan 2.6 ribu juta ringgit. Angka: RM2,600,000,000.00

– Jika kita joli 20 ribu ringgit sebulan, kita memerlukan 240 ribu ringgit setahun (mana nak cari?). Yang ekstrimnya jika kita punya 2.6 biliun ringgit dan kita gunakan sebanyak 240 ribu ringgit setahun, kita memerlukan masa selama > 1083 tahun untuk menghabiskannya! (RM240,000.00 x 1083 tahun = RM2,599,200,000.00) Wow! Anak, cucu, cicit, anak cicit, cucu cicit, cicit cicit dapat merasa. Ekstrim kan? Macam tu lah baaanyaknya duit dua perpuluhan enam biliun ringgit.

* Itu baru kira duit RM2.6 biliun. Berapa banyak pula duit RM42 biliun? Atau RM847.9 biliun? Tentu lah jauh lebih banyak. Boleh mengigau kalau aku bayangkan memiliki duit sebegitu banyak.

Kenapa aku sebut RM847.9 biliun? Kalau nak tau, gugel je (rm847.9 biliun - Google Search). Sebagai rakyat Malaysia kita patut tahu dan peka dengan situasi ini. Situasi yang tak berapa nak diuar-uarkan di tv atau radio.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Popular Minggu Ini (tak popular mana pun)